dua judul yang memanggil

Tempoh hari di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, saya sempat memiliki dua buku tukangan ilham Pak Sapardi. Alhamdulillah, saya mencari berkali-kali sebelumnya, Ahad itu saya diizinkan Tuhan untuk menggarap tuaian kata-katanya. Saya menggemari langgam bahasa Pak Sapardi, ia mengajar saya sekian-sekian perkara: misalnya bersederhana dalam mengasihi, seperti puisinya berjudul Aku Ingin,

"aku ingin mencintaimu dengan sederhana"

Begitu anggun pesan dan ia melekat di dinding ingatan. Bukankah puisi adalah fragmen amanat? Saya mengingatinya, sering juga. Agar saya meladeni kehidupan dengan kesederhanaan, tak terkecuali memupuk cinta. Dua judul kumpulan puisi, duka-Mu abadi dan Hujan Bulan Juni telah saya tekuni perlahan-lahan. Walhal terdapat beberapa buku Pak Sapardi tetapi jiwa saya mengarah untuk membeli dua ini sahaja. Pemilihan rona biru laut pekat sebagai tema warna muka buku menambah rasa damai ketika rutin telaah kelmarin, pula saya gandingkan dengan senarai-main acoustic. Hujan Bulan Juni pula tentunya memancing setiap pembaca tegar, khususnya saya kerana saya anak bulan Juni (Insha-Allah, semoga saya didewasakan-Nya pada tanggal ke-10 purnama keenam kemudian), selainnya saya ini apresiatif terhadap kejadian hujan - cuaca yang dibekalkan Mikail.

Saya mengulang-baca dan ia seperti tak mahu melepaskan sorotan mata kalbu ini. Ia mengajar saya tanpa henti. Tak luak saya himpun pengertian yang melintas pada lembar. Kalian bacalah, mungkin ia melonggarkan kebimbangan yang mengawal hati. Puisi tak melarikan kita ke daerah kosong. Puisi  adalah kenderaan yang memandu kita pulang ke diri. Selamat membaca kepada kalian yang juga mendapatkan buku-buku berkenaan. Kata Pak Joko, "selamat menunaikan ibadah puisi!"


Comments

  1. "Puisi tak melarikan kita ke daerah kosong. Puisi adalah kenderaan yang memandu kita pulang ke diri."

    may i quoted this.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sdr Fizreum,

      Maaf kerana lambat baca komen ini. Ya silakan. Terima kasih sudi singgah.

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog