Mendengar muzik adalah cara saya melegakan kegelisahan. Sangat gemarkan bagaimana manusia mencipta alunan yang rinci. Permainan kod gitar yang menakjubkan, nada luar biasa. Digandingkan vokal bermacam range, kadangkala membuat kita terpaku. Dua naskhah saya: Dua Rahsia Berjabat dan Momen, sebahagian besar proses penukangan karya ditemani senarai-main lagu yang panjang. Sukar saya menulis tanpa mendalami muzik.

Saya mendengar hampir kesemua genre, namun ada satu saya sering kembali mengkajinya iaitu progressive music (prog rock). Banyak karya saya terhasil ketika meneliti genre unik ini. Ia keseimbangan yang mantap - balada, metal, melankolik - segala aspek teknikal dititikberatkan.

Entah mengapa genre rock dan metal cenderung lebih puitis berbanding genre lain. Malah kedua-dua genre ini seringkali juga disalahertikan. Saya diperkenalkan lagu-lagu rock 80-an, terpegun dengan keindahan lirik. Mengapa ya? Adakah kerana keterbukaan dan progressiveness-nya membolehkan pemuzik bermain-main warna suara dan bunyi sehingga melahirkan lagu yang memancing jiwa? Saya teringin benar menulis tentang kaitan puisi dan lirik prog rock memandangkan sumber ilham saya mengalir daripada pengamatan dan penghayatan muzik jenis ini. Mungkin suatu hari nanti?

Sekarang saat menaip ini, saya sedang mendengar Lazarus oleh Porcupine Tree (antara band kesukaan, tak jemu-jemu mengulanginya). Ya, saya kerap mengulang lagu ini kerana gubahan Lazarus menikam sukma dengan melodi. Lazarus, sosok yang dikatakan dalam Bible, Jesus bangkitkan dia semula daripada kematian. Saya fikir lagu ini mengisahkan reinkarnasi setelah fasa duka. Merasakan melankolia paling bungkam apabila baris ini menitip ke telinga:

"follow me down to the valley below
you know moonlight is bleeding
from out of your soul"

Seolah saya sedang berlari di pinggir hutan yang gelap, hanya berlampukan sinaran bulan dan mencari-cari jalan keluar yang lebih nyaman. Terasa dada membengkak dengan cahaya.

Dan saya masih berlari-lari..

Comments

Popular posts from this blog