Dapur sering diasosiasikan kepada Wanita. Di situlah kedudukan wanita, suatu ketika dahulu (malah masih bergerak budaya begini). Begitu wanita dalam masyarakat Melayu lama; di situlah tempat mereka berbuat kerja, saling berkalih bicara sesama mereka - para Ibu menyiapkan hidangan kuih-muih dan masakan untuk keluarga. Setelah ilmu mendahului adat, maka wanita terbit seperti redup matahari yang dicari-cari sang petani untuk menumbuhkan taman dan perkebunan. Perlunya wanita berilmu. Perlunya ilmu untuk me-wanitakan. Perlunya wanita dalam melangsungkan rutinitas kehidupan - melembutkan apa-apa kekerasan niat sang lelaki atau kekeruhan manusiawi. Saya menjengah ruang kenangan - saya amat rapat dengan Bonda kerana saya satu-satunya bunga di dalam keluarga. Mata kecil saya akan menyoroti setiap kecekapan Bonda memasak lauk-pauk, mengemas pakaian, menjahit butang dan renda; namun semasa itu jiwa saya yang muda, keanak-anakan seperti sudah terlatih bertahun ketika di alam rahim; saya seolah mengerti, itulah pekerjaan seorang wanita, khususnya suri rumah, malah Bonda tidak perlu menyebut, "ini kerja kita sebagai perempuan, nak," atau buku-buku, kartun mengajarkan. Saya mengerti sendiri, seolah Tuhan sudah mengajar sebelum kelahiran, meskipun Dia tidak pernah meletakkan sesiapapun di mana-mana tempat hanya kerana jantina.

Tetapi dapur tidak lagi menjadi penanda wanita- mereka sudah berjalan ke ruang tamu, lalu ke anjung dan keluar berkelana persis Angin. Mereka sudah menjadi petualang yang mencari makna diri, erti Hakiki dan rahsia peribadi. Peluang disama-ratakan. Mereka wanita pembaca, pengajar, pendidik, pencinta dsb. Betapa hebat kuasa ilmu sebenarnya memberi masing-masing sepasang sayap untuk mengenali siapakah mereka. Siapakah mereka? Siapakah kita? Siapakah saudara? Siapakah saya? Bukankah itu pertanyaan paling agung bagi seorang manusia? Bukankah semua orang berhak mengenal, mengetahui dan memahami diri - wanita dan lelaki? Saya kira, Hari Wanita persis lorong lurus yang terus ke ruang jiwa para wanita; bahawa Wanita harus mengenal Wanita, juga Lelaki harus mengenal Lelaki. Saya kira, Hari Wanita adalah meraikan kepentingan mengetahui siapakah kita semua - waima lelaki atau perempuan.

Selamat Hari Wanita sedunia kepada Bonda, para Ibu, Ibu pertiwi, sahabat-sahabat-
semoga menjadi wanita berani, santun dan muluk budi.

Comments

Popular posts from this blog