Kenangan demi kenangan mampir, mendekati saya seolah angin yang menderu, memburu. Semua hal ketika saya kanak-kanak seperti melewati proses reinkarnasi dan kembali mendapatkan saya yang sudah melepaskan cagaran memori. Seorang sahabat lama berhubung semula pada saya, menanyakan khabar dan menceritakan keghairahannya membaca buku. Saya tersenyum mendengar, sesekali saya pula melontarkan pertanyaan tentang rekomendasi buku. Ada memori paling jelas dan pekat warna melapisi pandangan saya ketika kami saling berbicara; iaitu memori saya bersama Bonda. Saya diasuh membaca buku dari kecil, menerusi buku-buku kisah dongeng, misalnya Snow White, Cinderella, Rapunzel dll. Juga Enid Blyton pernah menjadi sebahagian besar keluarga kami. Rapi tersusun, bersiri-siri pula. Bonda amat mencintai buku-buku. Membaca masih sebagai rutinitas Bonda sehinggalah sekarang. Memori paling manis adalah ketika saya dan Bonda- kami berdua sahaja ke sebuah toko buku di Petaling Jaya (kini sudah tiada) dan Bonda akan beralih dari satu bahagian ke bahagian lain. Menyelak helaian dengan mata khusyuk, manakala saya yang bocah pula gemar ke bahagian kanak-kanak. Saya pernah memiliki sebuah buku dongeng yang tebal (mengandungi berpuluh-puluh nursery rhymes dan bermacam fairy tales tapi malang sekali ia hilang kerana kami berpindah-randah), sesekali rajah-rajah di dalam buku itu melintas. Alahai. Kenangan!

Satu fragmen memori lagi adalah sebuah toko buku milik sepasang suami isteri berhampiran rumah kami yang sering lengang, tidak mendapat sambutan. Sunyi. Seolah tidak ada pembeli berkunjung. Sayalah pembeli setia kerana toko buku itu menjual buku-buku menarik. Tetapi itulah toko buku paling saya suka; senyap, lengang dan beraneka buku! Toko itu menjadi saksi saya membeli novel pertama saya. Saya cukup kenal suami isteri - amat ramah dengan senyuman. Mereka seolah tahu dan menunggu - bilakah saya akan kunjungi? Sudah berbelas tahun kedai itu tiada. Kali terakhir saya kunjung, mereka mengadakan jualan murah-murah kerana perniagaan ini tidak laku. Ruang toko tersebut diganti dengan pelbagai kedai. Saya rindu. Ya, saya sangat rindu. Saya tidak tahu ke mana pasangan itu menetap kini, atau apakah mereka masih menjual buku-buku? Aduhai. Rindu, memang rindu.

Kembali pada perbualan saya bersama sahabat lama - ya Tuhan, betapa Engkau menduga kami dengan kenangan yang setajam belati, namun sangat mendidik. Saya termenung lagi - jasa bermula dari Bonda. Terima kasih Bonda mengenalkan saya - keindahan membaca. Terima kasih sahabat, pertemuan aneh di tikungan kerinduan paling panjang!

Comments

Popular posts from this blog